CELTIC 0 BARCELONA 2

Bos Celtic, Brendan Rodgers, berpandangan Luis Suarez tidak seharusnya dihadiahkan sepakan penalti dalam kekalahan pasukannya kepada Barcelona dalam kempen Liga Juara-Juara.

>

Juara Scotland itu tersingkir daripada saingan Eropah dengan aksi Kumpulan C masih berbaki satu perlawanan selepas tunduk 2-0 di tempat sendiri yang menyaksikan Lionel Messi meledak dua gol menerusi sepakan voli dan penalti pada separuh masa kedua.

Rodgers tidak bersetuju dengan sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Barca berikutan kekasaran Emilio Izaguirre ke atas Suarez -- 10 minit selepas permainan bersambung -- selain terkilan kerana tandukan Moussa Dembele gagal menemui sasaran ketika mereka berpeluang untuk menyamakan kedudukan.

"Ia bukan penalti," katanya dalam sidang medi. "Luis licik mencetuskan provokasi ke atas pemain pertahanan dalam kotak penalti. Dia bersandar kepada Emilio yang berada di posisinya. Luis licik dengan menarik jersi pemain pertahanan itu dan merebahkan diri.

"Ia detik penting perlawanan kerana kami sedang memberi saingan hebat. Pada kedudukan 1-0, ia sentiasa sengit. Jadi, ketinggalan 2-0 selepas gagal memanfaatkan peluang menerusi tandukan adalah mengecewakan. Pengadil tidak menyebelahi kami tapi ada kalanya itulah yang berlaku.

"Ia detik penting dan membuktikan bahawa anda perlu memanfaatkan peluang yang terhidang.

"Kami berjaya menembusi mereka dan beberapa gerakan kami adalah sangat hebat, kami cuma kekurangan sedikit kualiti.

"Peluang Dembele itu sangat sukar apabila anda melihat rakamannya tapi dia akan belajar daripada pengalaman itu. Saya berasakan kami telah bermain cukup baik dan saya berharap kami mampu melakukannya dengan lebih baik dan memanfaatkan peluang yang ada."

Mikael Lustig meraih pujian Rodgers kerana berjaya membayangi Neymar sepanjang permainan, dengan kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning kerana bertelagah di hujung perlawanan.

Tambah Rodgers: "Ia malam yang mencabar buat kedua-dua pasukan. Mikael beraksi hebat.

"Anda tidak boleh kaku dan sekadar memerhatikan Neymar, jadi dia perlu bersikap agresif, bersaing dan saya rasa dia telah berjaya melaksanakannya. Dan Neymar bertindak balas mengenainya.

"Pengadil membuat beberapa keputusan aneh sepanjang perlawanan ini. Secara keseluruhan, perlawanan ini berjalan lancar, kami bersikap agresif dan mereka mempunyai kualiti yang tinggi. Untuk itu, saya berasa Mika telah beraksi dengan cukup baik sekali."