Pengarah Kesukanan Borussia Dortmund, Michael Zorc, menegaskan pemain yang sedang menjadi sasaran Manchester United, Jadon sancho, tidak akan dijual sehingga jendela perpindahan ditutup.

Sancho menjadi pemain yang paling diinginkan United tetapi pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu gagal memenuhi permintaan Dortmund untuk mendapatkan penyerang kebangsaan England berkenaan.

Dortmund berkeras bahawa Sancho akan kekal bagi musim 2020-21 dengan United setakat ini masih tidak bersetuju dengan nilai perpindahan €120 juta (RM 585.4juta) yang ditetapkan pasukan Bundesliga berkenaan.

Dengan United masih mahu berunding sebelum tarikh akhir Isnin ini, Zorc memberikan amaran dengan mengesahkan bahawa pemain berusia tahun itu akan kekal berada di Dortmund.

"Amat jelas kami sudah berbincang dengan Manchester United sebelum ini," kata Zorc, yang sekali lagi ditanya mengenai masa depan Sancho.

"Tetapi segala yang perlu diperkatakan mengenai topik ini sudahpun diperkatakan oleh saya dan ramai yang menguruskannya di Borussia Dortmund.

"Ia tidak akan berubah sepanjang tiga hari ini," katanya.

Ketua jurulatih Dortmund, Lucian Favre, turut ditanya mengenai Sancho, yang tidak beraksi ketika pasukan itu tewas 2-3 kepada Bayern Munich dalam perlawanan DFL-Supercup, Rabu lalu.

Ketika Dortmund sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Freiburg dalam perlawanan Bundesliga malam ini, Favre berkata: "Jadon mengalami sedikit selsema, kita akan melihatnya nanti."