Pengurus Borussia Dortmund, Lucien Favre, bercadang membuat keputusan pada saat-saat akhir untuk menurunkan Erling Haaland di Augsburg sempena saingan Bundesliga kembali bersambung hujung minggu ini.

Dortmund mengetepikan beberapa kelab utama Eropah untuk mendapatkan penyerang berusia 19 tahun itu bulan lalu apabila membayar klausa pelepasan €22.5 juta (RM101.8j) kepada Salzburg.

Haaland meledak 28 gol dalam 22 penampilan bersama juara Austria berkenaan musim ini tetapi Favre dilanda kebimbangan mengenai kecergasan anak buahnya itu yang terlepas kem latihan pertengahan musim ini.

"Seperti yang saya katakan, kami akan tunggu dan lihat. Buat masa ini, saya tidak dapat mengesahkannya," kata pengurus itu kepada wartawan.

"Tetapi dia sudah terlepas sesi latihan sejak 10 Disember lagi hingga akhir bulan lalu. Bahkan dia tidak mengikuti kem latihan kami di Marbella.

"Masa untuknya membuat persiapan juga sangat suntuk tetapi semalam dia banyak berlari dan kelihatan baik-baik saja."

Favre mungkin tidak terburu-buru untuk mengetengahkan Haaland memandangkan ketua pasukan, Marco Reus, dan Thorgan Hazard bersedia untuk memperkuatkan barisan depan skuadnya setelah masing-masing kembali daripada kecederaan otot.

"Pemain yang tercedera banyak berlatih. Marco Reus dan Thorgan Hazard berlatih setiap hari," tambahnya.

"Mereka ada di sini setiap hari dan kita akan tengok sama ada mereka boleh beraksi atau tidak.

"Daripada segi kecederaan, Marcel Schmelzer tidak dapat beraksi esok manakala Tobias Raschl tercicir untuk mengikuti sesi latihan minggu ini dan Thomas Delaney juga tidak dapat diturunkan."

Dortmund menduduki tempat keempat Bundesliga, tiga mata di belakang juara bertahan, Bayern Munich, dan tujuh mata dipisahkan dengan pendahulu saingan domestik itu, RB Leipzig.



​Editor: Shaiful Shamsudin