LYON 4 DIJON 1

Bintang Lyon, Memphis Depay, mengakui hanya "mengimpikan kelab gergasi" tatkala spekulasinya ke Barcelona bertiup semakin kencang.


Penyerang berusia 26 tahun itu dikaitkan akan beralih angin ke LaLiga, lebih-lebih lagi bekas pengurus Belanda, Ronald Koeman, telah mengambil alih jawatan sebagai pengendali.

Penyerang itu mencipta hatrik ketika Lyon menundukkan Dijon 4-1 dalam perlawanan pembukaan Ligue 1 di kandang sendiri, awal pagi tadi.

Bercakap selepas itu, Depay mendedahkan bahawa dia belum sempat untuk bercakap dengan Koeman, tetapi mengakui memasang impian untuk mewakili kelab besar dengan Lionel Messi disebut-sebut akan meninggalkan Barcelona.

"Saya sebenarnya memberikan fokus di Lyon. Saya gembira kerana kami dapat kembali beraksi, saya belum lagi bercakap dengan Koeman," katanya dalam sidang akhbar.




"Anda tahu dia terlibat dalam pemulihan kecederaan saya. Dia datang ke Rom untuk berjumpa dengan saya, ketika saya berlatih di Belanda juga dia datang menemui saya dan sehingga ke hari ini, hubungan dengannya tetap baik.

"Dia kini merupakan pengurus Barcelona ​dan secara peribadinya, saya hanya memberi fokus kepada Lyon kerana saya di sini ketika ini. Bagaimanapun, saya masih mengimpikan kelab besar dan kita akan lihat apa yang akan berlaku kelak, tetapi buat masa ini saya adalah pemain di sini dan saya memikul tanggungjawab yang besar.

"Kelab ini memberikan saya banyak kebebasan dan tanda hormat yang tinggi, jadi saya gembira kerananya dan saya berusaha untuk melakukan yang terbaik dan memberikan segalanya buat kelab.

"Musim ini jelas mengecewakan kerana kami tidak dapat beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL). Bagi kami, kejurulatihan, pasukan, presiden, kota dan peminat, kami sudah biasa mengharunginya jadi ia sangat mengecewakan tetapi kami perlu berusaha untuk bangkit dengan segera."

Selepas kempen Ligue 1 2019 diakhiri lebih awal kerana ancaman COVID-19, Lyon menduduki tempat ketujuh tetapi mempamerkan pengembaraan menakjubkan apabila mara ke separuh akhir UCL.

Depay, yang menjaringkan 15 gol musim lalu, menegaskan Lyon harus menetapkan matlamat untuk menjatuhkan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Ligue 1.

"Itulah yang kami sasarkan, saya dan pasukan. Itulah cita-cita kami," katanya.

"Kami telah membuktikan bahawa kami mampu bersaing dengan mereka. Kami mampu menjadikan saingan ini sangat sengit, kami amat sedih gagal memenangi piala (Coupe de la Ligue) dan ia lebih daripada sekadar perlawanan.

"Kami perlu menang bertemu skuad kerdil jadi kami harus kekalkan fokus, menghadapi satu persatu perlawanan dan menetapkan cita-cita tinggi.

"Kami mempunyai barisan pemain yang bagus dan cerdas. Kami akan cuba melakukan yang terbaik untuk bersaing. Itulah sebabnya saya datang ke Lyon."