Andrea Barzagli menggambarkan kegagalan Itali meraih tiket ke Piala Dunia Russia 2018 sebagai kekecewaan terbesar dalam hidupnya selepas mengesahkan persaraannya daripada skuad kebangsaan pada usia 36 tahun.

Sweden membawa bekalan satu gol ke San Siro dalam pertemuan kedua play-off awal pagi tadi, sekaligus memastikan pasukan kendalian Gian Piero Ventura itu terlepas aksi di Russia dengan agregat 1-0 -- kali pertama skuad Azzuri akan terlepas kejohanan besar dalam tempoh 60 tahun.

Penjaga gol legenda, Gianluigi Buffon, turut mengambil tindakan serupa dan terdapat laporan yang bertentangan mengenai masa depan Ventura apabila laporan di Itali mengatakan pengendali veteran itu sudah meletak jawatan.

Bek tengah Juventus, Barzagli, tidak dapat merumuskan apa yang berlaku kepada juara dunia empat kali itu.

"Dalam istilah bola sepak, ia adalah kekecewaan terbesar dalam hidup saya," katanya kepada Rai Sport.

"Itali memberi anda sensasi yang unik dan memberi anda peluang untuk menjalin persahabatan sesama peminat Itali.

"Saya tidak tahu apa yang kami kurang, yang saya tahu adalah kami terkeluar daripada kelayakan Piala Dunia. Ini satu kekecewaan yang unik dan meninggalkan kumpulan pemain ini dalam situasi yang menyakitkan.

"Semua orang mempunyai perasaan yang bercampur-baur tetapi sangat sukar untuk ditelan sekarang," katanya.

Rakan sepasukan, Manolo Gabbiadini, turut berputus asa, namun enggan mendedahkan apa yang dikatakan Ventura kepada skuadnya.

"Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan, ini adalah satu perkara yang buruk yang tiada siapa mahu melihatnya," katanya.

"Apa yang dikatakan jurulatih di dalam bilik persalinan akan kekal di antara kami."