Didier Deschamps mengakui bahawa Perancis sepatutnya boleh melakukan sesuatu yang jauh lebih baik selepas bergelut dengan sistem baru ketika menewaskan Sweden 1-0 dalam Liga Negara-Negara Eropah awal pagi tadi.

Perancis menggunakan formasi 3-4-3 dengan Kylian Mbappe, Olivier Giroud dan Antoine Griezmann membarisi jentera serangan skuad kendalian Deschamps itu tetapi gagal bekerja sebagai satu unit.

Mbappe menjaringkan gol kemenangan menerusi satu-satunya percubaan tepat skuad Les Bleus itu pada minit ke-41 manakala Griezmann gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam waktu kecederaan separuh masa kedua di Solna.

Ketika Deschamps tidak mengharapkan aksi yang lancar daripada pasukannya, dia mengakui masih terlalu banyak ruang untuk diperbaiki.

"Kami baru mengusahakan sistem itu minggu ini. Ia masih belum sempurna dan saya tahu segala-galanya tidak menjadi begitu baik. Ia sistem baru. Kami sepatutnya boleh buat lebih baik, terutama dalam fasa menyerang," kata Deschamps kepada M6.

"Mereka bermain dengan 4-4-2 dan amat sukar untuk melancarkan serangan balas.

"Tetapi ia perlawanan pembukaan yang baik dengan mengambil kira tahap kecergasan pemain kami," katanya.

Perancis tewas 1-2 kepada Sweden di Arena Friends dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Deschamps berasakan ia satu tempat yang mencabar untuk mereka kunjungi.

Dia juga berasakan keadaan fizikal pasukannya dan penglibatan pemain kurang berpengalaman seperti Dayot Upamecano dan Leo Dubois turut menjadi faktor penyumbang kepada prestasi longgar itu.

"Ia sentiasa sukar untuk bermain di sini -- kami masih ingat kunjungan terakhir kami.

"Saya bukan mencari alasan tetapi anda perlu mengambil kira tahap kecergasan pemain dan kekurangan pengalaman beberapa pemain lain seperti Upamecano.

"Tetapi kami menamatkannya dengan kemenangan, jadi ia sentiasa menjadi pulangan yang berbaloi," katanya lagi.