Memphis Depay kekal komited bersama Lyon, menegaskan tidak pernah meluahkan keinginan untuk meninggalkan kelab.

Depay telah dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan Stadium Groupama, dengan Paris Saint-Germain, Inter dan Barcelona semua dikatakan berminat untuk menandatangani penyerang Manchester United itu.

Dia telah menjaringkan enam gol buat Lyon bagi musim 2019-20 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), membantu Lyon mara ke separuh akhir ketika Les Gones menyingkirkan Juventus dan Manchester City bulan lalu.

Dia kembali turun dalam aksi pertama saingan Ligue 1 musim 2020-21, meledak hatrik buat skuad kendalian Rudi Garcia ketika menang 4-1 ke atas Dijon.

Bercakap kepada NOS, Depay, yang memiliki kontrak yang bakal berakhir penghujung musim ini, "Saya tidak berkata mahu berhijrah. Apabila saya mengatakan sesuatu, ia sering diputarbelitkan.

"Saya masih mempunyai kontrak setahun, saya kapten pasukan, dan kami mempunyai pasukan yang bagus. Kami telah menunjukkannya. Saya berasa seronok dengan diri sendiri tetapi juga mempunyai impian saya. Saya juga selalu menyatakannya."

Perpindahan ke Barca akan menyaksikan Depay bersatu kembali dengan Ronald Koeman, yang meninggalkan jawatannya dengan Belanda untuk mengambil alih di Camp Nou.

Depay berkata, "Saya tidak melihat Koeman telah mengabaikan skuad kebangsaan.

"Dia telah meninggalkan sesuatu di sini. Kami perlu meneruskan apa yang telah disediakan untuk pasukan ini. Kami akan menantikan siapa yang bakal mengambil alih pasukan. Sebagai satu kumpulan, kami perlu bertanggungjawab kepada pasukan."