OLYMPIQUE LYON 3 EVERTON 0

Everton terpaksa menerima hakikat tersingkir daripada saingan Liga Europa setelah tunduk 0-3 di tangan Olympique Lyon dalam aksi Kumpulan E di tempat lawan, awal pagi tadi.


The Toffees masih belum mencatat sebarang kemenangan selepas mengharungi empat perlawanan dan tatkala dua pasukan teratas berkongsi kedudukan dengan lapan mata, skuad kendalian David Unsworth itu dilihat tidak lagi mampu mencabar dua slot tersebut.

Perlawanan di Perancis menyaksikan tuan rumah lebih banyak menguasai segenap aksi di padang dan Memphis Depay hampir membuka tirai jaringan dalam babak pertama, namun sepakan percumanya diselamatkan oleh Jordan Pickford.

Selepas kedudukan 0-0 kekal menuju rehat, skuad kendalian Bruno Genesio itu meneruskan asakan bertali-arus sebaik sahaja separuh masa kedua dimulakan.

Gol yang dicari-cari akhirnya tiba apabila pemain sayap, Bertrand Traore, bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan sepakan kaki kiri untuk menjadikan kedudukan 1-0 pada minit ke-68.

Belum sempat pelawat mencari gol penyamaan, Houssem Aouar melebarkan kedudukan buat Lyon enam minit kemudian, selepas menerima lorongan cantik daripada Depay sebelum pemain muda berusia 19 tahun itu bijak menewaskan Pickford.

Malang buat anak-anak buah Unsworth selepas pemain tengah dari Perancis, Morgan Schneiderlin, diperintahkan keluar padang setelah pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kedua buatnya.

Depay seharusnya dipilih selaku pemain terbaik perlawanan apabila menanduk masuk gol ketiga tuan rumah menerusi tandukan deras hasil umpanan Jordan Ferri pada minit ke-88 dan kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat.

Everton kini menghuni tangga terbawah kumpulan dengan satu mata sementara Lyon berada di tempat kedua di belakang wakil Itali, Atalanta.