Lyon akan mendapat suntikan semangat untuk menghadapi Juventus dalam Liga Juara-Juara (UCL) jika Memphis Depay cergas, menurut bekas pengurus, Sylvinho.

Kelab Ligue 1 itu mencatat kemenangan mengejut 1-0 ke atas Juve dalam pertemuan pertama pusingan 16 Februari lalu sebelum musim ini ditangguhkan angkara COVID-19.

Bintang berumur 26 tahun itu terlepas pertembungan berkenaan kerana kecederaan serius (ACL) Disember lalu dan dia dilaporkan bersedia untuk kembali menjalani latihan bulan ini.

Sylvinho, yang mengemudi Lyon dalam 11 perlawanan tahun lalu, percaya kembalinya penyerang itu mampu menawarkan kelebihan kepada kelab berkenaan.

"Lyon meraih keputusan baik di laman sendiri tetapi akan ada perlawanan timbal balik dan beraksi di Juventus adalah sangat sukar," kata bekas bek kiri Barcelona dan Arsenal itu kepada SkySport semalam.

"Saya tidak tahu apakah Depay sempat untuk kembali tetapi jika dia berjaya melakukan, ia akan menawarkan perbezaan yang ketara. Dia mantap daripada segi fizikal dan teknikal malah dia mempunyai karakter.




"Saya sangat menyukainya. Sekiranya dia mampu cergas maka Lyon akan mempunyai kelebihan."

Depay telah menyumbangkan 14 gol termasuk dua bantuan jaringan dalam 18 perlawanan musim ini dan kepulangannya itu pasti akan menjadi dorongan hebat buat Lyon saingan UCL berpotensi dilengkapkan Ogos depan.