Ousmane Dembele masih berpeluang untuk memainkan peranan dalam pertembungan El Clasico di antara Barcelona dan Real Madrid bulan depan, menurut pakar yang mengendalikan kes kecederaan pemain Perancis itu.

Pemain termahal Barca bernilai €105 juta (RM514.9j) itu mengalami kecederaan hamstring dalam penampilan ketiganya bersama gergasi Catalan itu dengan penilaian awal mencadangkan dia akan terlepas aksi sepanjang 2017.

Namun, Dembele pulih lebih awal daripada jangkaan asal apabila sudah mula menjalani latihan ringan. Justeru, pakar perubatan, Sakari Orava, tidak menolak peluangnya untuk beraksi di Santiago Bernabeu pada 23 Disember nanti.

"Pemulihannya lebih pantas daripada yang dijangkakan," kata Orava kepada Cadena SER. "Dia sudah berkata dia mahu kembali sebelum tarikh yang dirancang.

"Tetapi, kita tidak tahu mengenai sebarang kemungkinan dia boleh menghadapi Madrid. Mungkin, tetapi saya tidak boleh memberi apa-apa jaminan.

"Buat masa ini, dia menjalani latihan ringan dan saya berasakan menjelang pertengahan bulan ini, dia akan kembali berlatih dengan bola.

"Jika dia terlalu mendesak, dia berisiko untuk kembali tercedera. Dia harus mengambil pendekatan bertenang, maka semuanya akan baik-baik saja," katanya.

Barca mengetuai LaLiga dengan empat mata untuk mengatasi Valencia apabila belum pernah tewas selepas 11 perlawanan dan lapan mata mendahului seteru ketat, Real Madrid, yang menduduki tempat ketiga.