Legenda Juventus, Alessandro Del Piero, memuji persembahan Paulo Dybala pada permulaan musim 2017-18, dengan menyifatkan bintang Argentina itu mempunyai kualiti untuk terus kekal bersama kelab itu sehingga bersara.

Dybala dilihat telah ditakdirkan bakal menjadi salah seorang penyerang terbaik dunia sejak menyertai Juve dari Palermo pada 2015 dan berada dalam landasan untuk menghasilkan persembahan terbaiknya.

Pemain berusia 23 tahun itu telah meledak 10 gol dalam tujuh perlawanan Serie A, hanya ketinggalan satu gol untuk menyamai rekodnya pada musim lalu.

Del Piero percaya bintang Argentina itu merupakan pemain yang tiada tandingan di mata peminat The Old Lady.

"Dia telah meningkatkan tahap permainannya kepada peringkat yang lebih tinggi pada permulaan musim ini," kata Del Piero.

"Dybala melakukan perkara-perkara yang menarik. Saya bukan hanya bercakap mengenai jaringan gol, malah dia mampu mengubah keputusan perlawanan.

"Saya berharap dia akan terus bersama Juve kerana jarang sekali seorang pemain berjaya memikat hati peminat seperti apa yang telah dilakukannya.

"Jersi nombor 10 bukan hak saya. Sebelum ini, Roberto Baggio, Omar Sivori dan Michel Platini – mereka merupakan legenda yang telah menggunakan nombor ini.

"Kini seorang lagi bintang telah mengisi kekosongan itu yang mampu mencipta sejarah baru bersama pasukan. Saya sangat gembira," katanya lagi.