ATALANTA 2 DINAMO ZAGREB 0

Marten De Roon berkata Atalanta akhirnya membuktikan bahawa mereka boleh bersaing di peringkat Liga Juara-Juara (UCL) selepas mempamerkan "sedikit kelucuan" dalam tiga perlawanan pembukaan.


Jaringan Luis Muriel dan Alejandro Gomez memberikan Atalanta kemenangan pertama dalam kancah berkenaan buat kelab Serie A itu menghidupkan peluang mereka mara ke pusingan 16 menerusi kemenangan 2-0 ke atas Dinamo Zagreb awal pagi tadi.

Skuad yang dikendalikan oleh Gian Piero Gasperini itu kini dalam persaingan tiga penjuru untuk menyusuli jejak pemenang Kumpulan C, Manchester City, menuju perlawanan keenam.

"Selepas tiga perlawanan pertama, kami kelihatan seperti satu bentuk jenaka dalam UCL tetapi selepas malam ini, kami menunjukkan bahawa kami memang berkeupayaan untuk berada di tahap ini," kata pemain tengah itu.

Pengurusnya pula menambah: "Ini malam yang kami idamkan. Gol Gomez hadir selepas deretan peluang dibazirkan dan ia memberi kami rangsangan yang diperlukan. Sekarang, kami percaya kami boleh mara."

Kelab Itali berkenaan kekal terperosok di tangga tercorot Kumpulan C dan wajib menumpaskan Shakhtar Donetsk dalam perlawanan terakhir sambil berharap Dinamo gagal mengatasi juara Liga Perdana Inggeris (EPL), City.

Pemain tengah Atalanta, Remo Freuler, pula berkata: "Kami percaya bahawa kami boleh maju, tentu saja. Kami memerlukan kemenangan untuk kekal dalam saingan Eropah dan jika kami bernasib baik, dalam UCL."

Ia adalah hari yang mengecewakan buat seteru dari Croatia itu yang membelasah Atalanta 4-0 dalam pertemuan pertama.

"Kadang-kadang anda perlu mengakui bahawa lawan anda adalah lebih baik dan Atalanta lebih baik daripada kami pada malam ini," kata pengurus, Nenad Bjelica.

"Kami mempunyai beberapa peluang ketika ketinggalan dengan satu gol tetapi gagal memanfaatkannya. Mungkin kami juga sepatutnya beraksi dengan lebih baik dalam setiap aspek perlawanan ini. Kami membenarkan mereka mencipta peluang selain tidak bermain dengan pantas dan mudah.

"Mereka memang berhak untuk menang, Mereka bermain seperti yang kami hajati dalam perlawanan di Zagreb. Ketika ini kami tidak akan rugi apa-apa lagi. Di depan penyokong kami kelak, apa sahaja boleh berlaku."