David Villa mungkin akan dipanggil semula untuk menyarung jersi Sepanyol, dedah ketua jurulatih, Julen Lopetegui.

Bekas pemain Real Zaragoza, Atletico Madrid, Barcelona dan Valencia itu telah membuat 97 penampilan -- di samping meledak 59 gol -- sejak kali terakhir beraksi dalam Piala Dunia 2014 berdepan Australia.

Kini, pada usia 34 tahun, Villa sedang menikmati prestasi terbaiknya di Amerika Syarikat bersama New York City, menyumbang 23 gol dalam 33 perlawanan musim ini untuk menduduki tempat kedua Eastern Conference.

Villa kini berpeluang membuat 100 penampilan bersama La Furia Roja, dengan Lopetegui mengakui kagum dengan aksi pemain itu sejak berpindah ke Amerika Syarikat.

"Saya pergi ke New York bersam isteri saya dan mengambil peluang itu untuk melihat Villa beraksi," Lopetegui memberitahu Onda Cero selepas menyaksikan New York membelasah Columbus Crew 4-1.

"Secara jujur, saya boleh katakan dia bermain dengan cukup baik.

"Jika dia meneruskan prestasi terbaiknya, tidak mustahil dia akan kembali.

"Kami tidak pernah menutup pintu peluang untuk mana-mana pemain kembali mewakili skuad Sepanyol kerana kami sering mempertimbangkan pemain yang mampu membantu.

"Villa sedang bermain dengan rentak yang baik, menjaringkan gol yang banyak di samping mempamerkan karektor mantap.

"Dia telah membuat sumbangan besar untuk bola sepak Sepanyol."

Villa menjuarai Euro 2008 dan Piala Dunia 2010 bersama Sepanyol, namun terlepas kejayaan dalam Euro 2012 apabila mengalami kecederaan patah kaki.

Dia merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak buat negaranya dengan 59 gol, diikuti Raul dengan 44.