Tonggak muda negara, Darren Lok, semakin selesa dengan posisinya selaku penyerang utama bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Hazwan Bakri.

Prestasi semasa Darren dilihat lebih baik jika dibandingkan dengan aksi pertamanya bersama skuad negara dalam perlawanan persahabatan menentang Singapura, bulan lalu.

Darren berkata dia turut berpuas hati bergandingan dengan Hazwan dan Norshahrul, dengan menganggap kedua-dua pemain itu mula memahami corak dan cara permainannya.

"Kedua-duanya mempunyai aksi permainan yang sama selain ampuh dalam mengawasi bahagian serangan.

"Sebagai penyerang, saya lebih serasi untuk bermain di bahagian tengah dan kombinasi itu sangat menarik serta mampu mencipta impak," kata Darren.

Dalam aksi persahabatan dengan Papua New Guinea kelmarin, skuad negara sekadar meraih kemenangan tipis 2-1. Namun, bagi Darren, ia cukup untuk dijadikan sebagai suntikan semangat sebelum berangkat ke Myanmar, hari ini.

"Pastinya sukar untuk menyamakan momentum serta aksi terbaik. Saya berasa kami adalah sebuah pasukan yang ampuh dan mempunyai peluang dalam kejohanan kali ini."

Walaupun hanya muncul sebanyak dua kali bersama skuad negara dalam aksi persahabatan, Darren tampak berbisa dan prestasi sebenarnya dijangka akan lebih menyerlah dalam saingan Piala Suzuki AFF, 19 November-17 Disember ini.

Malaysia akan memulakan kejohanan itu dengan menentang Kemboja, Ahad ini.