Bintang sensasi Kelantan, Mohd Danial Ashraf Abdullah, yakin dapat menambahkan lagi koleksi 18 golnya, sekaligus membantu Kelantan mengekalkan kejuaraan Piala Presiden dalam perlawanan akhir kedua menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

“Alhamdulillah semua pemain bersedia untuk bertemu T-Team sekali lagi di gelanggang mereka (Kuala Terengganu). Ketua jurulatih (Hashim Mustapha) sudah pun mengenal pasti segala kelemahan yang ada semasa kami seri 1-1 di Kota baharu dalam final pusingan pertama.

“Insya-Allah, saya tidak akan berhenti di angka 18, sebaliknya berazam untuk terus memburu jaringan demi jaringan bagi membantu The President Warriors (TPW) mengekalkan kejuaraan Piala Presiden dua tahun berturut-turut,” katanya.

Ditanya mengenai ketumpulan jentera serangan TPW dalam aksi final di Kota Bharu, Mohd Danial Ashraf, yang juga bekas pemain Harimau Muda C, menjelaskan keadaan padang becak akibat hujan lebat sebelum perlawanan banyak merencatkan serangan yang diatur.

“Dalam aksi final pertama, jentera serangan menghadapi sedikit masalah akibat padang becak dan keampuhan benteng pertahanan T-Team yang bermain begitu baik.

‘Saya yakin sesiapapun (penyerang) yang bakal diturunkan akan melakukan yang terbaik untuk mencari jaringan awal dan kami mampu mempertahankan kejuaraan Piala Presiden,” katanya.

Dalam aksi final pertama di Kota Bharu 18 Oktober lepas, TPW bermula garang apabila Mohd Danial Ashraf menjaringkan gol pendahuluan melalui sepakan percuma cantik pada minit ke-55 yang berjaya menewaskan penjaga gol T-Team, Mohd Asyraf Azmi.

Kelebihan satu gol pantas dipadamkan pemain tengah T-Team, Engku Muhd Shakir Engku Yakob, yang menanduk cantik dan berjaya memerangkap penjaga gol bawah 22 tahun kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi, pada minit ke-64.

Kelantan terus menggandakan serangan untuk mencari gol kemenangan, malangnya benteng pertahanan T-Team yang diketuai ketua pasukan, Aqil Irfanuddin Sabri, kental bertahan.