Penyerang Juventus, Juan Cuadrado, tidak dapat bayangkan bagaimana jika bintang Barcelona, Lionel Messi, menyertai Cristiano Ronaldo bersama juara Serie A berkenaan.

Messi sudah memaklumkan kepada Barca bahawa dia mahu meninggalkan kelab itu, pasukan di mana pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu menghabiskan keseluruhan karier profesionalnya.

Manchester City, Paris Saint-Germain (PSG) dan Inter Milan merupakan pasukan yang cukup kuat dikaitkan dengan perpindahan pemain berusia 33 tahun itu.

Terdapat juga laporan mendakwa Messi berkemungkinan akan menyertai Ronaldo di Turin untuk menggandingkan dua pemain terbaik era moden itu tetapi Cuadrado akan terkejut besar sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

"Saya langsung tidak dapat membayangkannya. Sejujurnya, saya tidak boleh," katanya kepada ESPN Nexo.

Cuadrado menambah: "Sama seperti Ronaldo, ramai yang tidak mempercayainya tetapi tiba-tiba dia hadir di sini."

Juve sedang bersedia untuk memulakan kempen musim 2020-21 di bawah kendalian ketua jurulatih baru, Andrea Pirlo, yang menggantikan Maurizio Sarri pada awal bulan ini.

Cuadrado, yang berada Juve sejak 2015 walaupun pada awalnya selaku pemain pinjaman, berkata bahawa dia masih belum berbincang dengan Pirlo mengenai perancangannya.

"Saya masih belum berkesempatan untuk bercakap dengannya. Apabila tiba giliran saya, saya pasti akan memberitahunya tentang di mana saya lebih selesa (untuk bermain).

"Harap-harap dengan pengetahuan dan pengalamannya sebagai pemain yang hebat, dia dapat memberikan sumbangan buat pasukan ini dan kami dapat memenangi banyak gelaran bersama-sama," katanya lagi.