Covid-19: Ziyech anggap keputusan Eredivisie merepek 

Oleh Shaiful Shamsudin 26 April 2020 394
Covid-19: Ziyech anggap keputusan Eredivisie merepek 
Hakim Ziyech membantah keputusan untuk tidak menobatkan Ajax sebagai juara Eredivisie sambil menganggapnya sebagai mengarut setelah musim ini diakhiri. 

Persatuan Bolasepak Diraja Belanda (KNVB) mengumumkan hasrat untuk tidak meneruskan kempen kali ini tanpa juara, penyingkiran atau peluang naik divisyen. 

Ajax menerajui puncak saingan menerusi perbezaan gol dengan AZ sebelum musim ini ditangguhkan akibat penularan wabak novel koronavirus (Covid-19).

Ziyech, yang akan pindah ke Chelsea musim depan, tidak berpuas hati dengan keputusan untuk tidak menyerahkan gelaran Eredivisie kepada Ajax buat ke-35. 

"Ia satu langkah yang mengarut. Kami berada di puncak," katanya kepada AD.

"AZ dikatakan lebih berhak untuk ditabalkan juara memandangkan mereka menang dua kali ke atas kami. Oleh itu, sekarang ini perbezaan gol yang lazimnya diamalkan tidak lagi dikira? Tentu saja merepek. Bagaimana PSV muncul juara pada 2007? Tepat sekali, menerusi perbezaan satu gol. 

"Kami dianggap sebagai juara tidak rasmi, tetapi saya lebih suka sekiranya memenanginya di atas padang. 

"Namun, jika saya harus memilih satu kelab sebagai juara maka bagi saya ialah Ajax."

 
Ajax menempa lima kekalahan dalam kancah Eredivisie musim ini dan dua daripadanya ditundukkan AZ.

Ketua pasukan gergasi Belanda itu, Dusan Tadic, pula berasakan mereka seolah-olah dinafikan trofi. 

"Itulah kesepakatan yang wujud, perbezaan jaringan akan diambil kira. 

"Jika anda bersetuju rekod pertemuan perlu menjadi ukuran, jadi bagi saya AZ seharusnya dinobatkan selaku juara" katanya.

"Saya seorang yang profesional dan ingin memenangi setiap trofi. Itulah yang saya lakukan. 

"Kini saya berasakan seperti terlepas gelaran."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen