Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo, menghantar mesej perpaduan terhadap rakan sepasukan, Daniele Rugani, selain mengakui sumbangan "luar biasa" yang dilakukan oleh pasukan perubatan dalam memerangi penyebaran wabak koronavirus baru (Covid-19).

Kancah Itali dalam kekacauan dalam usaha negara itu menangani pandemik Covid-19, justeru Ronaldo menegaskan perlindungan terhadap kehidupan manusia haruslah menjadi tumpuan utama tatkala kalendar sukan terjejas teruk.

Rakan sepasukannya, Rugani, dikuarantin sejurus diuji positif dengan jumlah kes global membabitkan wabak itu kini melanda 132,000 orang.

Situasi Rugani itu mendapat perhatian ketua pasukan Portugal ketika memuat naik status di media sosial dalam membincangkan perkembangan terkini Covid-19.

Ronaldo menyuarakan simpatinya, sehari selepas Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Bundesliga muncul liga terbaru yang bertindak menangguhkan perlawanan di tengah-tengah pembatalan acara-acara lain di seluruh dunia dengan saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan Liga Europa juga sepatutnya dijadualkan minggu depan.

"Dunia sedang mengalami tempoh amat sukar yang menuntut perhatian sepenuhnya daripada kita semua," kata Ronaldo, 35, sambil memuat naik pautan ke Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengandungi maklumat mengenai virus itu.

"Saya bercakap dengan anda hari ini bukan sebagai pemain bola sepak tetapi sebagai seorang lelaki, ayah dan seorang manusia yang peduli dengan perkembangan terkini yang memberi kesan kepada seluruh dunia.

"Adalah penting kita semua menuruti nasihat WHO dan pihak berkuasa dalam usaha kita menangani keadaan semasa ini. Melindungi kehidupan manusia haruslah melebihi kepentingan lain.

"Saya ingin melahirkan simpati terhadap mereka yang telah kehilangan seseorang yang rapat dengan mereka, saya bersimpati dengan mereka yang sedang memerangi virus ini seperti juga rakan sepasukan saya, Daniele Rugani, selain sokongan berterusan daripada saya kepada pegawai kesihatan profesional yang mengagumkan kerana sanggup mengambil risiko demi menyelamatkan orang lain."