Pengurus, Maurizio Sarri, dan kesemua pemain pasukan utama Juventus, termasuk Cristiano Ronaldo, bersetuju untuk mengurangkan gaji mereka buat sementara waktu berikutan pancemik Covid-19.

Tindakan itu akan mengurangkan kos kelab berkenaan sebanyak €90 juta (RM434.99 juta).

Juve tidak pernah beraksi sejak menewaskan seteru Serie A, Inter Milan, di stadium tertutup pada 8 Mac lalu.

Liga divisyen utama Itali itu tidak akan bersambung sebelum 3 Mei depan dan penggantungan itu mungkin akan dilanjutkan lebih lama berdasarkan perkembangan terkini di mana wabak berkenaan telah mengorbankan lebih daripada 10,000 nyawa di negara berkenaan.

Dalam keadaan itu, pasukan juara bertahan Serie A berkenaan bersedia untuk mengurangkan gaji pemain mereka.

Satu lagi pasukan gergasi Eropah, Barcelona, gagal melakukan perkara sama apabila pemain bintang mereka menolak cadangan tersebut, namun Ronaldo dan kesemua barisan utama Juve, termasuk Sarri, bersetuju dengan cadangan itu.

"(Kelab ini) telah mencapai kesepakatan dengan pemain dan jurulatih pasukan utama berkenaan kesediaan mereka untuk mengurangkan pendapatan bagi baki musim ini," kata satu kenyataan yang dikeluarkan.

"Kesepakatan itu membolehkan pengurangan pendapatan mereka dengan jumlah yang sama bagi bulan Mac, April, Mei dan Jun 2020.

"Dalam minggu-minggu akan datang, perjanjian peribadi dengan pemain dan jurulatih akan dimuktamadkan, seperti yang termaktub dalam peraturan semasa.

"Kesan ekonomi dan kewangan daripada kesepakatan yang dicapai ini, secara positifnya, boleh menjimatkan kira-kira €90 juta bagi tahun kewangan 2019-20.

"Sekiranya pertandingan musim ini dijadualkan semula, kelab ini mempunyai keyakinan untuk berunding dengan pemain dan jurulatih mengenai kenaikan semula pendapatan mereka dengan bersyarat berdasarkan penyambungan semula dan penyempurnaan kejohanan-kejohanan rasmi.

"Juventus ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain dan jurulatih di atas komitmen mereka pada waktu ini, yang sukar buat semua orang," tambah kenyataan itu.