Kapten Real Madrid, Sergio Ramos, berkeinginan untuk memenangi satu trofi, namun bersedia untuk menunggu saingan musim ini kembali bersambung berikutan pandemik Covid-19.

Kempen LaLiga musim ini tertunda berikutan wabak berkenaan, yang telah mengorbankan 217,000 mangsa di seluruh dunia.

Kelab-kelab di Sepanyol semakin hampir untuk kembali menjalani latihan dan musim ini juga dilaporkan akan bersambung pada Jun depan.

Ramos mahu memberikan lebih banyak trofi buat Madrid, yang menduduki tangga kedua dalam carta LaLiga dan berada dalam pusingan 16 sebelum kejohanan itu ditunda.

"Kesihatan setiap orang tidak akan diletakkan dalam keadaan berisiko. Saya tidak sabar untuk kembali beraksi, kembali bersaing, bemain dalam LaLiga dan Liga Juara-Juara," katanya ketika mengelolakan Hari UNICEF Ramos seperti yang dilaporkan AS.

"Saya bernafsu untuk menamatkan musim ini dengan satu piala tetapi kami perlu bersabar dahulu untuk mereka yang pakar membuat keputusan yang sebaiknya," katanya.

Sepanyol antara negara yang paling terjejas akibat Covid-19 dengan lebih daripada 232,000 kes jangkitan dilaporkan termasuk 23,800 kematian.

Ramos menggesa setiap orang untuk kekal mengikuti garis panduan di negara itu.

"Kita tidak boleh menganggap bahawa segala-galanya sudah selesai, keseriusan mengenai perkara ini perlu dikekalkan.

"Kita perlu mengikut garis panduan dalam usaha menamatkan virus ini dan memberikan ahli sains masa untuk menemui vaksin," tambahnya.