Pandemik Covid-19 menimbulkan keresahan buat ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney.

Bagi pengendali kelahiran Australia itu, lebih cepat dia dapat mengumpulkan anak buahnya, ia lebih baik untuk mempersiapkan pasukan bagi meghadapi Kejohanan AFC B-19 -- kejohanan kelayakan ke Piala Dunia B-20 -- di Uzbekistan, Oktober depan.

Pandemik berkenaan mengganggu perancangan skuad B-19 negara dengan latihan pusat yang sepatutnya bermula bulan lalu terpaksa ditangguhkan.

Setakat ini, Kejohanan AFC B-19 dijadualkan berlangsung dari 14-31 Oktober depan dan sekiranya tarikh itu di kekalkan, Maloney memerlukan sekurang-kurangnya lima atau enam minggu untuk mempersiapkan pasukannya.

"Jika kejohanan itu diteruskan pada Oktober depan, sudah pasti kami mahu mengumpulkan pasukan lebih awal.

"Saya pasti ia bukan mudah buat pemain. Saya sedar mereka telah melakukan segala-galanya untuk mengekalkan tahap kecergasan.

"Tiada apa dapat menggantikan latihan di atas padang. Ia memberikan keamatan yang tinggi.

"Cara terbaik adalah dengan memiliki persediaan selama lima atau enam minggu untuk membawa pemain menyertai beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa.

"Selepas itu, kami boleh pulang ke Kuala Lumpur untuk mempersiapkan diri selama satu atau dua minggu lagi," katanya.