Presiden Lazio, Claudio Lotito, menyokong perlawanan play-off dengan Juventus bagi memutuskan gelaran Serie A.

Juve mendahului Lazio di puncak sebelum saingan di Itali itu ditangguhkan bulan lalu berikutan koronavirus baru (Covid-19).

Perintah kawalan pergerakan di Itali dilonggarkan mulai semalam dan ada perancangan untuk membolehkan semua pasukan kembali menjalani latihan bermula 18 Mei depan.

Belum ada keputusan mengenai bagaimana musim Serie A 2019-20 akan bersambung dengan kedua-dua itu masih mempunyai baki 12 perlawanan termasuk pertemuan di Stadium Allianz yang pada awalnya dijadualkan kelmarin.

Kelab ibu kota itu memenangi pertemuan pertama 3-1 Disember lalu selain mengalahkan Juve dalam perebutan Supercoppa Italiana, tiga minggu kemudian dengan keputusan yang sama.

Lotito akan menyokong idea perlawanan play-off bagi menentukan kejuaraan jika perlu, lebih-lebih lagi kerana dia yakin bahawa keputusan Lazio untuk memberi fokus kepada liga berbanding Liga Europa mampu menawarkan kelebihan kepada pasukannya berikutan jadual perlawanan akan menjadi padat sekiranya baki perlawanan musim ini perlu dihabiskan.

"Dalam pertandingan pertama bertemu Juventus, kami menang 3-1 manakala dalam Supercoppa kami juga menang 3-1. Dan kami masih perlu beraksi dalam aksi timbal balik," kata Lotito kepada La Repubblica.

"Untuk bertindak adil dengan pasukan seperti Inter, yang ketinggalan lapan mata atau Atalanta yang dipisahkan 14 mata dengan kami -- maka beritahu saya apakah mereka juga harus terlibat.

"Ya, saya akan menerimanya (perlawanan play-off). Tetapi saya tidak pernah menimbulkan masalah tetapi untuk memulakan semula saingan liga, ia satu bentuk hukuman buat kami.

"Kami sudah membuat pilihan dan kami percaya tidak mampu menempuhi tiga kejohanan jadi kami korbankan Liga Europa memandangkan ia melibatkan jadual dan dan perjalanan (yang sukar), ia adalah satu kejohanan yang paling tidak selesa.

"Sehubungan itu, kami akan beraksi seminggu sekali sementara yang lain terpaksa bermain dua kali. Sekiranya kami bermula dari awal, kami semua perlu beraksi dua kali dalam tempoh seminggu, kami akan kehilangan satu kelebihan.

"Tetapi saya juga mengambil kira kepentingan 20 kelab yang ada."