LaLiga dan Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) bersetuju untuk melanjutkan penundaan liga musim 2019-2020 ke tempoh yang lebih panjang.

Liga divisyen utama Sepanyol itu, bersama-sama majoriti acara dan kejohanan sukan utama di seluruh dunia, telah ditunda bagi memerangi pandemik Covid-19.

LaLiga membuat keputusan untuk menunda musim ini sekurang-kurangnya sehingga awal bulan depan selepas pasukan Real Madrid terpaksa dikuarantin kerana salah seorang pemain bola keranjang kelab itu didapati positif dan mengalami masalah pernafasan.

Terdahulu, presiden liga itu, Javier Tebas, berkata pihaknya yakin liga musim ini dapat ditamatkan sambil berharap saingan di peringkat Eropah dapat ditamatkan pada penghujung Jun depan dengan Euro 2020 dan Copa America 2020 turut dianjakkan ke tahun depan.

Bagaimanapun, dengan keadaan Sepanyol yang masih dalam situasi kecemasan berikutan pendekatan kerajaannya bagi menangani penularan wabak berkenaan, LaLiga dan RFEF bersetuju bahawa liga profesional mereka hanya akan disambung apabila pihak berkuasa yang berkenaan dapat menjamin bahawa tiada lagi risiko jangkitan kepada orang ramai.

"RFEF dan LaLiga bersetuju untuk menggantung pertandingan bola sepak profesional sehingga pihak berkuasa yang berkaitan daripada Kerajaan Sepanyol dan pentadbiran negara mengumumkan bahawa mereka memberikan jaminan ia boleh disambung semula dan tidak mendatangkan risiko kepada kesihatan," kata RFEF.

"Kedua-dua RFEF dan LaLiga ingin menluahkan rasa berterima kasih kepada semua orang yang mendedikasikan usaha mereka untuk menyediakan perkhidmatan penting kepada warga Sepanyol dan kami juga ingin memberikan peringatan yang tulus untuk semua orang yang telah meninggal dunia."

Covid-19 telah mengorbankan sekurang-kurangnya 16,490 mangsa di seluruh dunia dengan lebih daripada 378,390 orang disahkan dijangkiti.