Koke mencabar Atletico Madrid untuk mempamerkan watak garang sebaik saingan LaLiga kembali biarpun mereka perlu beraksi di gelanggang tertutup.

Kelmarin, Kerajaan Sepanyol memberi lampu hijau kepada kelab-kelab LaLiga untuk kembali berlatih minggu ini menerusi sesi individu sebagai sebahagian daripada langkah awal untuk menyambung perjuangan mereka musim ini selepas kempen mereka dikejutkan dengan krisis novel koronavirus (Covid-19).

Saingan musim ini telah tertangguh sejak Mac lalu dengan sasaran aksi akan kembali bulan depan.

Ketua LaLiga,. Javier Tebas, mengungkap "kembalinya bola sepak adalah petanda bahawa masyarakat semakin dekat untuk kembali kepada kehidupan normal" berikutan kesan pandemik itu ke atas negara berkenaan.

Kali terakhir Atletico beraksi adalah pada 11 Mac, iaitu dalam kemenangan 3-2 di Anfield untuk selangkah menafikan Liverpool daripada mempertahankan Liga Juara-Juara (UCL).

Sehubungan itu, Koke berharap mereka dapat segera menemui rentak.

"Kami membuat persiapan di rumah masing-masing dalam usaha tidak kehilangan terlalu banyak keamatan atau sentuhan menjadi berkarat," kata ketua pasukan itu dalam sidang media yang disiarkan kelab berkenaan. "Apa yang kami paling teruk terlepas ialah sentuhan dengan bola.

"Kami perlu memulakan latihan individu sebelum dapat berlatih dalam kumpulan, kami akan menghadapinya secara berperingkat.

"Ini (ibarat) musim pendek selepas kami beraksi di peringkat tertinggi di Liverpool. Kami harus membuat persiapan dengan cara terbaik dan tidak menganggapnya sebagai pra-musim.

"Ini satu langkah pertama untuk bermula garang dalam baki saingan musim ini."

Nuestro capitán @Koke6 atendió a los medios de comunicación en una rueda de prensa algo diferente. ?⚪️ #AúpaAtleti

A post shared by Atlético de Madrid (@atleticodemadrid) on



Atleti perlu berjuang untuk merebut kedudukan empat teratas musim ini; mereka kini menduduki tangga keenam -- satu mata di belakang Real Sociedad yang menguasai tempat keempat dengan baki 11 perlawanan.

Namun, dengan perlawanan akan dipentaskan tanpa kehadiran penyokong, skuad kendalian Diego Simeone itu tidak akan mendapat suntikan semangat daripada penyokong di Wanda Metropolitano -- Koke mengakui ia senario yang kekok.

"Nampaknya kami kena beraksi tanpa penonton," kata pemain antarabangsa Sepanyol itu.

"Bermain di laman sendiri tanpa sokongan peminat akan menjadi janggal kerana mereka sentiasa menjelmakan sokongan padu, khususnya pada saat-saat yang paling sukar.

"Mudah-mudahan ia tidak berlarutan dan di mana sahaja mereka berada, kami akan berasakan sokongan mereka."