Joshua Kimmich berasakan pemain bola sepak berprofil tinggi perlu memikul "tanggungjawab tertentu" bagi memainkan peranan dalam memerangi penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

Awal bulan ini, pemain tengah Bayern Munich dan Jerman itu melancarkan inisiatif bersama kelab dan rakan sepasukan antarabangsa, Leon Goretzka, yang dikenali sebagai 'We Kick Corona' -- sebuah dana untuk badan amal dan institusi sosial bagi menangani krisis Covid-19.

2,000 penderma telah tampil termasuk Robert Lewandowski, bersama isterinya yang menjanjikan €1 juta (RM4.7j) dan jumlah itu kini melepasi €3.5j (RM16.6j) selepas Mats Hummels, Leroy Sane dan Timo Werner memberikan sokongan menerusi laman sesawang program berkenaan.

Bayern, Borussia Dortmund, RB Leipzig dan Bayer Leverkusen juga berikrar untuk mewujudkan dana sebanyak €20j (RM95.1j) buat kelab Bundesliga dan divisyen dua yang mungkin bergelut daripada segi kewangan berikutan penggantungan liga.

"Sebagai pemain bola sepak, anda perlu menggalas tanggungjawab tertentu," katanya dalam temu bual di laman sesawang Bayern.



"Kami juga mempunyai skop untuk bergerak maju daripada segi perpaduan. Leon, saya, dan kini pasukan FC Bayern Munich secara semula jadinya terlintas untuk memikirkan bentuk bantuan yang boleh ditawarkan -- baik dalam lingkungan pekerjaan kami mahupun masyarakat di luar kelab.

"Justeru, kami memulakan inisiatif ini sambil berharap kami dapat membantu ramai orang yang memerlukan bantuan pada masa ini."

Terdapat lebih 66,000 kes koronavirus disahkan di Jerman dan seperti kebanyakan Eropah yang lain, negara itu telah melaksanakan kawalan pergerakan dalam usaha menyekat penyebaran pandemik berkenaan.


Meskipun pemain-pemain Bayern berada jauh dari pangkalan latihan, namun Kimmich terkejut sesi maya adalah memberangsangkan.

"Pada mulanya saya sangat ragu-ragu sama ada latihan siber ini akan berfungsi," katanya.

"Tetapi saya perlu mengakui bahawa ia menyeronokkan. Ini adalah peluang yang baik buat kami untuk terus berhubung dengan rakan sepasukan.

"Semua orang berada di sana, anda boleh melihat antara satu sama lain di telefon bimbit anda atau apa sahaja peranti yang anda masuki.

"Barisan kejurulatihan kecergasan harus dipuji kerana ia berfungsi dengan baik.

"Kami berpeluh banyak, memberikan segala-galanya dan setiap pemain serasi dengan baik."