Kesemua 20 kelab Serie A sebulat suara melahirkan keinginan mereka untuk menghabiskan baki musim 2019-20, menurut laporan yang tersebar semalam.

Difahamkan semua pasukan sepakat dalam satu mesyuarat tergempar Lega Serie A semalam dalam usaha meneruskan kempen musim ini di sebalik keputusan Eredivisie dan Ligue 1 yang telah mengakhiri kempen masing-masing berikutan ancaman wabak novel koronavirus (Covid-19).


Begitupun, beberapa pasukan dikatakan menolak cadangan itu tetapi akhirnya menyatakan persetujuan dalam sidang video tersebut yang diadakan bagi membincangkan isu hak penyiaran selain hasrat menyambung baki saingan musim ini.

Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora, minggu ini memberi amaran bahawa pihak kerajaan mungkin akan menamatkan musim ini jika kesepakatan gagal dicapai berhubung protokol perubatan untuk menyambung semula pertandingan itu.

Presiden Serie A, Paolo Dal Pino, bertindak balas dengan meminta semua pihak agar bersatu dengan berkata: "Menteri sukan akan melihat semangat kerjasama dan keharmonian kami serta hubungan baik saya dengan Presiden Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina."

Liga utama Eropah yang lain termasuk Bundesliga dan Liga Perdana Inggeris (EPL) masih berhasrat untuk menghabiskan musim ini.

Terdahulu, empat kelab Serie A sudah dibenarkan untuk turun berlatih Isnin ini setelah wilayah Emilia-Romagna melonggarkan kawalan pergerakan.

Selain membuka kembali taman permainan dan tanah perkuburan kepada orang ramai, penguasa wilayah itu juga menyatakan sesi latihan secara individu akan dibenarkan.

Perkembangan itu boleh menjadi berita baik buat Bologna, Parma, Sassuolo dan SPAL sungguhpun kerajaan pusat mungkin menolak langkah tersebut.

Semua kelab dibenarkan kembali mengadakan latihan bermula 18 Mei depan, sehari selepas perintah kawalan pergerakan berakhir, namun ia masih belum terjamin kerana langkah berkenaan barangkali boleh dilanjutkan.

Juara bertahan, Juventus, kini memimpin saingan dengan satu mata di atas Lazio selepas 26 perlawanan sebelum kempen musim ini terpaksa ditangguhkan.