FIFPro telah meminta pihak berkuasa bola sepak Turki menangguhkan musim domestik ketika wabak koronavirus berterusan.

Ketika hampir semua negara Eropah telah menangguhkan saingan ekoran penularan wabak yang turut dikenali sebagai Covid-19, saingan Liga Super Turki masih lagi diteruskan tanpa kehadiran penyokong di stadium.

Pemain tengah, John Obi Mikel, telah meminta kontraknya bersama Trabzonspor dibatalkan dengan persetujuan bersama selepas menyatakan kepada umum bahawa tidak selamat untuk beraksi.

FIFPro, kesatuan pemain-pemain profesional global, menggesakan penganjur Liga Super Turki serta Persekutuan Bolasepak Turki (TFF) untuk mengkaji keputusan untuk meneruskan saingan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Twitter, "FIFPRO telah menulis kepada Liga Super Turki serta TFF untuk menghentikan perlawanan serta latihan ketika penularan coranavirus.

"Sebilangan besar pemain-pemain asing telah menghubungi kami dan menyatakan tidak selesa beraksi ketika ini."

Lima liga utama Eropah di England, Itali, Sepanyol, Jerman dan Perancis serta saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan Liga Europa (UEL) telah ditangguh seketika ekoran pandemik ini.

Euro 2020 dan Copa America telah dianjak ke tahun hadapan bagi memudahkan saingan kelab musim 2019-20 diteruskan selepas penangguhan berakhir.

Terdapat 191 kes yang telah disahkan positif covid-19 di Turki.