COVID-19: FAM enggan terburu-buru buat ketetapan

Oleh Muzaffar Musa 20 Oktober 2020 127
COVID-19: FAM enggan terburu-buru buat ketetapan
Berdasarkan situasi penularan COVID-19 di seluruh negara ketika ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) enggan terburu-buru dalam membuat sebarang ketetapan berkenaan skuad kebangsaan.

Ia tatkala barisan kejurulatihan Harimau Malaya sudah mengatur beberapa perancangan bagi mengadakan kem latihan pusat pertama tahun ini.

FAM tiada masalah dengan cadangan melaksanakan kem latihan pusat selepas tamat saingan Piala Malaysia hujung tahun ini seperti yang diusulkan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Sebelum ini, turut terdapat cadangan untuk membawa skuad Harimau Malaya itu mengadakan latihan di Asia Barat  tetapi ia turut bergantung kepada polisi kerajaan yang sedang menutup pintu sempadan negara ketika ini.

Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, dengan keadaan negara yang masih belum bebas daripada pandemik COVID-19, adalah sukar untuk badan induk itu meluluskan sebarang perancangan buat masa ini.

"Dia (Cheng Hoe) adalah ketua jurulatih skuad kebangsaan, jadi (tindakannya) tiada apa-apa yang bercanggah dengan sekretariat FAM.

"Apa yang diminta dan dilihat atau hasrat daripada jurulatih Tan itu merupakan hasrat kami juga tetapi kami perlu sensitif dengan keadaan semasa," katanya.

Kali terakhir pemain negara dihimpunkan adalah ketika menjalani persiapan menentang Indonesia dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia pada November tahun lalu.

Mengulas lanjut, Stuart berkata: "Kita masih ada masa sehingga Disember ini sebelum sebarang keputusan akhir dibuat.

"Tetapi memandang kepada peningkatan kes (positif) semasa, FAM sebagai badan induk bola sepak perlu memainkan peranan bersama kerajaan dalam menangani isu COVID-19 ini.

"Kami akan membuat keputusan apabila tiba masanya dan bukan pada ketika ini," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen