COVID-19: FAM akui status kewangan terkesan 

Oleh Shaiful Shamsudin 30 Jun 2020 159
COVID-19: FAM akui status kewangan terkesan 
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hilang keuntungan maksimum sebanyak RM9 juta apabila tiada perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya dari Mac hingga September depan.

Wabak COVID-19 menyebabkan badan induk bola sepak negara itu terpaksa menggunakan jalan alternatif bagi memastikan kerjasama dengan penaja kekal terjalin.

Struktur aliran kewangan badan induk itu terjejas sejak penularan pandemik berkenaan yang mendorong Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ini kerana pendapatan utama FAM adalah melalui aksi skuad kebangsaan berdasarkan aspek penajaan, hak penyiaran dan kutipan tiket perlawanan.

Namun, keuntungan yang dianggarkan berjumlah RM3 hingga RM9 juta yang sepatutnya diraih organisasi bola sepak negara itu sepanjang tempoh berkenaan tidak dapat direalisasikan.

"Itu anggaran realistik berdasarkan tiga jendela (sebelum ini). 

"Ia sememangnya sasaran penjanaan dana buat FAM," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, ketika memberi reaksi kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini. 

Justeru, dana bantuan COVID-19  daripada Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA)  yang diumumkan baru-baru ini ibarat bonus buat FAM bagi meneruskan kelangsungan operasi mereka menerusi peruntukkan $1.5 juta (RM6.42 j).

Selain FAM, pasukan kelab seperti Felda United juga terkena tempiasnya apabila kehilangan hampir RM1j. 

"Ia memberi kesan yang sangat besar kepada kami. 

"Kami terpaksa merangka semula perancangan kewangan kami .

"Setakat ini, Felda masih memberi dana kepada Felda United mengikut bulan," kata Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen