Perlawanan Bundesliga akan berlangsung secara tertutup bermula 2 November ini selepas Jerman mengisytiharkan perintah berkurung di sebahagian tempat berikutan peningkatan kes positif koronavirus.

Canselor Jerman, Angela Merkel, dan ketua daerah daripada 16 negeri semalam memutuskan untuk memilih pendekatan baru bagi membendung penularan virus itu.

Salah satunya adalah larangan buat mana-mana penyokong untuk menghadiri sebarang aktiviti sukan profesional di negara itu.

Menjelang permulaan musim 2020-21, Bundesliga mengumumkan bahawa mereka bersedia untuk membenarkan kembali kedatangan penyokong jika pihak berkuasa kesihatan mempertimbangkan langkah-langkah keselamatan selepas beberapa minggu terakhir musim 2019-20 dijalankan secara tertutup.

Kedatangan terbesar penonton sejak kebenaran itu adalah dalam perlawanan di laman Borussia Dotrmund ketika menentang Freiburg yang mencatatkan kehadiran 11,500 peminat manakala kelab lain -- termasuk juara bertahan, Bayern Munich -- tidak membuka kembali stadium berikutan kes COVID-19 yang masih tinggi di kawasan mereka.

Larangan itu hanya akan dikuatkuasakan Isnin ini dan ia bermakna perlawanan Bundesliga pada hujung minggu ini masih boleh dilangsungkan dengan kehadiran penonton.

Selepas lima perlawanan, RB Leipzig kini mendahului kedudukan Bundesliga dengan 13 mata dan hanya dibezakan satu mata dengan juara bertahan, Bayern, dan Dortmund.