Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke, percaya bola sepak Jerman sedang menghadapi "krisis terbesar dalam sejarah" dalam usaha menangani pandemik novel koronavirus (Covid-19).

Semalam, Liga Bolasepak Jerman (DFL) mengesahkan bahawa kesemua perlawanan Bundesliga dan divisyen dua telah dibatalkan sehingga sekurang-kurangnya 2 April depan.

Tindakan itu menyusul tidak lama selepas pengumuman awal yang menyatakan perlawanan hujung minggu ini akan diteruskan seperti yang dirancang, iaitu secara tertutup hingga mengundang kritikan bintang Bayern Munich, Thiago Alcantara.


Begitupun, Presiden Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, mempertahankan keputusan awal DFL untuk melangsungkan satu lagi perlawanan sambil memberi amaran bahawa kelab-kelab yang lebih kecil mungkin akan terjejas sekiranya musim ini ditamatkan dengan lebih awal.

Watzke bersetuju "pendekatan lain" sepatutnya diambil dengan kelab-kelab bersedia mengadakan pertemuan pada Isnin ini untuk membincangkan penangguhan lanjut.

"Pihak atasan DFL telah membuat keputusan yang perlu dihormati -- tanpa mengira hakikat bahawa masih ada pendekatan lain," katanya dalam satu kenyataan kelab.

"Kami harus bersatu padu untuk melakukan ini bersama-sama dan membincangkan perkara ini pada Isnin ini.

"Bagaimanapun, ia juga bermaksud -- bergantung kepada perbincangan itu kelak -- bahawa bola sepak profesional Jerman kini dalam krisis terbesar dalam sejarahnya.

"Adalah diharapkan bahawa kelab-kelab Bundesliga memiliki banyak sumber dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk semua pihak dapat bertahan dalam krisis ini.

"Borussia Dortmund boleh dikecualikan dalam ancaman ini atas segala yang telah kami lakukan."

Dortmund, yang sepatutnya menghadapi saingan getir menentang Schalke hari ini, di tangga kedua dan empat mata di belakang pendahulu, Bayern.