COVID-19: Ada 13 pemain, Napoli didapati bersalah tidak turun berdepan Juve 

Oleh Shaiful Shamsudin 15 Oktober 2020 787
 COVID-19: Ada 13 pemain, Napoli didapati bersalah tidak turun berdepan Juve 
Napoli diberikan kekalahan 0-3 dan meraih satu mata kerana gagal hadir dalam perlawanan menentang Juventus, demikian umum Lega Serie A, malam tadi. 

Pasukan asuhan Gennaro Gattuso itu tidak bertandang ke Turin pada 4 Oktober lalu selepas tonggak utama, Piotr Zielinski dan Eljif Elmas, serta kakitangan, Giandomenico Costi, positif COVID-19.

Lega Serie A menolak permohonan Napoli -- yang berpendapat bahawa mereka dilarang melakukan perjalanan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan -- untuk menangguhkan pertemuan di Stadium Allianz itu kerana secara teknikal mereka masih mempunyai sekurang-kurangnya 13 pemain untuk diturunkan.

Juve tetap mahu meneruskan perlawanan itu di sebalik dua kes positif dalam kalangan kakitangan mereka, sehari sebelum perlawanan.

Andrea Pirlo sempat menamakan barisan permulaannya tetapi pasukan itu tidak mengadakan sesi memanaskan badan sebelum perlawanan itu gagal diteruskan seperti yang dijadualkan.

Suruhanjaya Tatatertib Lega Serie A menganggap Napoli tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menangguhkan perlawanan itu dan Napoli dijangka akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen