Kejayaan Liga Juara-Juara (UCL) Philippe Coutinho bersama Bayern Munich akan menjadi pendorong buat Barcelona dan Antoine Griezmann akan kembali menemui rentak terbaiknya," kata penjaga gol, Los Cules, Neto.

Perancang Brazil, Coutinho, menikmati semusim dipinjamkan kepada Bayern dan memenangi Bundesliga, DFB-Pokal dan UCL -- pemain itu turun ketika Barcelona tewas 8-2 kepada Bayern dalam suku akhir.

Walaupun Bayern tidak memilih untuk melanjutkan pinjamannya secara tetap, ia masih kelihatan seolah-olah masa depan Coutinho menjauhi Nou Camp sehinggalah kedatangan Ronald Koeman sebagai ketua jurulatih memberikan sinar baru bersama kelab.

Coutinho telah melakukan dua bantuan jaringan dan mencetak satu gol, sementara berjaya melakukan hantaran secara purata 88.96 peratus, daripada empat aksi LaLiga musim ini dan rakan senegaranya, Neto gembira melihatnya kembali beraksi di Barca.

"Saya sangat gembira memiliki rakan seperti Coutinho dalam skuad ini, dengan kualiti yang dimiliki," katanya.

"Dia telah membuktikan kemampuannya dan teruja untuk kembali bersama kelab. Gelaran UCL yang dimenangi akan memberikan jaminan buat dirinya dan kepada pasukan."
Sebaliknya, Griezmann mengalami permulaan yang perlahan musim ini, gagal menjaringkan gol, membantu atau bahkan mencipta peluang untuk rakan sepasukan dalam empat penampilan.

Banyak yang diharapkan daripada Griezmann setibanya dari Atletico Madrid menjelang kempen 2019-20 tetapi pemenang Piala Dunia itu bergelut untuk mendapatkan rentak terbaiknya di Nou Camp.

Neto, bagaimanapun, memberikan sokongan kepada rakan sepasukannya itu.

"Saya melihat Griezmann dengan baik, seperti biasa, kita mengetahui apa yang perlu diharungi sebagai pemain bola sepak, terdapat waktu yang baik dan buruk.

"Tetapi saya melihat dia gembira dan berlatih dan saya yakin dia akan terus memberikan impak seperti sebelum ini."