Pemain sayap Juventus, Douglas Costa, menamakan Paulo Dybala sebagai rakan sepasukannya paling kuat berbanding Cristiano Ronaldo.

Bintang Brazil itu memilih Dybala berbanding pemenang lima kali Ballon d'Or, Ronaldo, ketika ditanya peminat dalam laman Instagram.

"Rakan sepasukan paling kuat adalah Dybala," katanya.

Costa beraksi bersama Dybala sejak menyertai Juve secara pinjaman daripada Bayern Munich pada 2017.

Setahun kemudian, Ronaldo berhijrah ke Turin menerusi yuran berjumlah EUR112 juta (RM528 juta).

Sasaran utama Costa kini mahu kembali ke Itali dari Brazil selepas meluangkan tempoh penangguhan saingan Serie A.

Saingan tertinggi di Itali ditangguhkan sejak Mac lalu ekoran wabak coronavirus tetapi terdapat perancangan untuk membenarkan kelab menyambung latihan pada 4 Mei depan.

Selasa lalu, Lega Serie A mengumumkan perjanjian rawak telah dicapai untuk menamatkan musim 2019-20 walaupun ia bercanggah dengan laporan daripada Torino dan Sampdoria serta beberapa pasukan lain.

"Saya harap dapat kembali ke Itali," tambahnya.

"Saya tidak sabar untuk kembali kerana tidak tahu apa mahu dilakukan di sini."