Stale Solbakken berkata Copenhagen perlu menjadi sempurna untuk mempunyai peluang mengejutkan Manchester United dalam Liga Europa.

Pasukan Denmark itu akan berdepan United dalam suku akhir di Cologne awal pagi esok dan bercadang untuk melakukan kejutan.

Ketika mereka sedang bersedia untuk menghadapi Superliga musim 2020-21, Copenhagen mengatasi Istanbul Basaksehir 3-0 dalam perlawanan kedua pusingan 16 Rabu lalu.

Tetapi Solbakken berkata hanya kesempurnaan dapat memastikan pasukannya mengejutkan United, yang hanya tewas sekali daripada 23 perlawanan terakhir.

"Bagi tujuan itu (menewaskan United), kami perlu menjadi sempurna, kami memerlukan sedikit tuah. Kami mungkin memerlukan United yang tidak beraksi dengan kemampuan penuh," katanya dalam sidang media.

"Kami perlu sempurna ketika bertahan. Kami perlu mengambil satu atau dua atau tiga peluang yang kami peroleh dalam perlawanan seperti ini.

"Peluangnya tidak besar tetapi ia satu kelebihan buat kami kerana ia tidak akan berakhir dalam 90 minit tetapi 180 minit.

"Tetapi kami ada perasaan yang baik. Selepas tamat musim ini, kami mempunyai rehat seminggu dan apabila pemain kembali, kami dapat memastikan beberapa pemain sudah bersedia untuk beraksi, di mana ia amat penting buat kami.

"Kami mempunyai perasaan yang baik selepas kemenangan 3-0 itu tetapi anda tidak boleh terlalu berharap. Kami akan memberikan segala-galanya," katanya.