Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berpendapat perubahan venue bagi aksi final Copa Libertadores sepatutnya dilangsungkan di Amerika Selatan dan bukannya di Sepanyol susulan insiden bas pasukan Boca Juniors diserang penyokong River Plate, minggu lalu.

Boca bertandang ke Buenos Aires selepas keputusan 2-2 dalam aksi final pertama di La Bombonera.

Namun, bas pasukan itu dihujani lemparan batu ketika dalam perjalanan ke Stadium El Monumental.

Kenderaan tersebut tiba di lokasi sebelum kapten Boca, Pablo Perez, dan rakan sepasukan, Gonzalo Lamardo, dikejarkan ke hospital bagi tujuan pemeriksaan.

Beberapa pemain turut mendakwa mereka berdepan dengan semburan lada di mata.

Susulan insiden itu, Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL), bertindak menunda perlawanan itu selepas pemain Boca disahkan bukan berada dalam kondisi untuk beraksi.

Selepas mesyuarat CONMEBOL, perlawanan tersebut disahkan akan dipindahkan ke Santiago Bernabeu, Madrid, Ahad depan.

Keputusan tersebut, bagaimanapun tidak dapat diterima Guardiola.

"Saya akan memilih untuk aksi tersebut berlangsung di Amerika Selatan.

"Ia lebih baik untuk dilangsungkan di Buenos Aires, namun mereka sudah pasti lebih mengetahui apa yang berlaku di sana.

"Perlawanan tersebut sepatutnya diadakan dalam benua dan negara mereka.

"Saya berharap perkara seperti itu tidak berulang pada masa akan datang," katanya.