Conte tuntut kegigihan Eriksen di Inter 

Oleh Shaiful Shamsudin 25 Julai 2020 110
 Conte tuntut kegigihan Eriksen di Inter 
Antonio Conte yakin Christian Eriksen akan membuktikan kemampuannya di Inter dalam tempoh jangka masa panjang tetapi menuntut pemain tengah itu supaya terus berusaha.

Eriksen, yang merupakan pemain yang ditandatangani kelab Itali itu daripada Tottenham Januari lalu, hanya menyumbangkan tiga gol dalam 19 perlawanan bersama Nerazzurri yang mahu mencabar gelaran Serie A. 

Justeru, pengurus itu tertarik dengan persembahan pemain antarabangsa Denmark itu ketika bertemu Fiorentina, pertengahan minggu ini. 

Bekas pengurus Chelsea itu yakin Eriksen akan mula mendapat rentak di San Siro selagi tidak menurunkan etika kerjanya.

"Saya lebih suka untuk tidak bercakap mengenai individu," kata Conte kepada Inter TV. 

"Tetapi (Eriksen) mengharungi babak pertama yang sangat baik ketika bertemu Fiorentina.

"Dia berusaha memberikan yang terbaik dan kami meletakkannya dalam keadaan terbaik agar dia mampu berjaya.

"Di belakang penyerang, dia boleh melakukan apa sahaja yang dimahukannya. Tetapi dia perlu terus berusaha dengan stabil dan serius. Hasilnya akan menyusul."

 

Masih ada masa untuk Eriksen mencetuskan impak dalam kempen ini dengan Inter berdepan kekalutan pada penghujung musim ini. 

Selepas berkunjung ke Genoa awal pagi esok, Nerazzuri akan menghadapi Napoli dan Atalanta dalam dua perlawanan terakhir Serie A sebelum menyambung kempen Liga Europa, iaitu menentang Getafe tiga hari kemudian.

"Pertama sekali, situasi kami berbeza (dengan pasukan Serie A yang lain)," kata tambahnya.

"Pada 5 Ogos depan, kami akan beraksi dalam pusingan 16 Liga Europa. Lawan kami yang berikutnya, iaitu Napoli dan Atalanta sebaliknya memiliki lebih banyak masa untuk melakukan persediaan menghadapi saingan Liga Juara-Juara (UCL), untuk berehat dan memberikan persiapan yang tepat kepada pemain mereka.

"Sebaik aksi liga kami selesai, kami perlu segera mengalihkan tumpuan kepada kejohanan di peringkat Eropah. Banyak kerja yang perlu dilakukan dalam tempoh ini, baik secara fizikal mahupun mental."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen