Pengurus Inter, Antonio Conte, tidak akan "teragak-agak" untuk angkat kaki sekiranya kelab itu tidak berpuas hati tetapi pengurus berbangsa Itali itu tetap komited untuk meneruskan projek Nerazzurri di sebalik tanda tanya mengenai masa depannya.

Conte menyertai Inter pada awal musim ini tetapi timbul laporan bahawa bekas pengurus Chelsea dan Juventus itu akan meninggalkan pasukan berkenaan dalam kempen 2019-20.

Keraguan itu semakin hangat diperkatakan berikutan kekecewaan Conte terhadap kegagalan pasukannya memberi saingan jitu sejak Serie A bersambung bulan lalu selepas saingan musim ini tertangguh sejak Mac lalu akibat wabak COVID-19.

Inter memintas Lazio di tempat kedua, lapan mata di belakang pendahulu, Juve, dengan enam perlawanan tersisa dan selepas kemenangan 3-1 ke atas Torino di tempat sendiri, awal pagi tadi, dan Conte mengulas mengenai masa depannya.





"Saya dipanggil ke Inter untuk projek tiga tahun, untuk membawa mereka kembali ke tempat yang sepatutnya," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Ia memerlukan masa. Saya ke mari dengan semangat yang tinggi. Saya mempunyai kepercayaan.

"Saya memulakan projek tiga tahun ini dan kontrak saya juga dimeterai selama tiga tahun. Selepas itu, jika mereka ingin melanjutkan kontrak saya maka saya akan berasa gembira, saya tahu masih ada jalan yang panjang untuk dilalui tetapi saya tidak mahu menggunakannya sebagai alasan.

"Sekiranya semua orang gembira dengan tugas yang telah saya lakukan dan saya pula berasakan itulah yang berlaku ketika ini berdasarkan apa yang saya diberitahu, maka saya tidak nampak alasan mengapa kami tidak meneruskannya.