Pengurus Inter, Antonio Conte, berkata para pemain tidak seharusnya kecewa berikutan kekalahan 2-0 kepada Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) kerana ia menunjukkan apa yang diperlukan untuk mencapai tahap yang sama dengan pasukan lawan.

Jaringan penalti Eden Hazard di awal permainan dan pemain gantian, Rodrygo, menghukum Inter mengalami kekalahan pertama di laman sendiri kepada juara LaLiga, Real.



Ia merupakan kali pertama Inter gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan pembukaan saingan UCL dan menyaksikan peluang mereka mara ke pusingan 16 dalam kedudukan yang bahaya.

The Nerazzurri kini tercorot dalam Kumpulan B, lima mata di belakang Real dan enam di belakang pendahulu saingan, Borussia Monchengladbach, dengan berbaki dua perlawanan.

Jaringan Real terhasil selepas Arturo Vidal diarah keluar padang, pemain tengah itu dilayangkan dua kuning dan ia dilihat sebagai titik perubahan perlawanan di San Siro.

"Ia selalu sukar untuk bersaing dengan pasukan yang ternama seperti Real Madrid, jadi ketika ketinggalan dan kekurangan seorang pemain, ia seperti gunung yang tinggi untuk didaki," kata Conte kepada Sky Sport Italia.

"Saya rasa kita melihat perbezaan antara mereka dan kami. Ia tidak boleh menjatuhkan kami. Ini harus menunjukkan kepada kami jalan yang perlu kami lalui.

"Kami perlu lebih berkerja keras dan merendah diri, untuk menyedari di mana kita berada dan tidak membiarkan diri kita terpengaruh dengan suara dari luar.

"Satu-satunya jalan ke hadapan adalah bekerja keras dan berkembang dengan segala cara yang mungkin."

Vidal tidak berpuas hati kerana tidak diberikan penalti selepas kelihatan seperti dijatuhkan Raphael Varane di dalam kotak penalti dan diarah keluar padang oleh pengadil dari England, Anthony Taylor, selepas 33 minit di Milan.

Pemain kebangsaan Chile itu menjadi pemain ketiga dalam sejarah Liga Juara-Juara (UCL) diarah keluar padang bersama tiga kelab berbeza, seiring dengan Patrick Vieira dan Zlatan Ibrahimovic.