Abang kepada bekas pengendali Juventus dan Itali, Daniele Conte, menjelaskan Antonio Conte masih lagi tidak dihubungi oleh Real Madrid.

Conte tidak membimbing sebarang kelab selepas meninggalkan Chelsea dan telah dikaitkan bakal berhijrah ke Santiago Bernabeu, ketika ketua jurulatih, Julen Lopetegui, berada di bawah tekanan menjelang aksi berdepan Barcelona, Ahad ini.

Daniele yang bertindak selaku ejen Conte, memberitahu Cadena SER bahawa Real adalah "kelab terbaik" tetapi menegaskan sebarang komunikasi dua hala masih tidak berlaku.

"Conte masih lagi bercuti dan tidak mendapat sebarang panggilan daripada Real Madrid," katanya.

Conte memenangi tiga gelaran Serie A bersama Juventus sebelum membawa Itali ke suku akhir Euro 2016.

Beliau menjulung gelaran pertama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertamanya sebelum mengakhiri cabaran di England dengan memenangi Piala FA mengatasi Manchester United.

Juara Eropah, Real, kini menghuni tangga ketujuh LaLiga, ketinggalan empat mata di belakang Barca.

Kemenangan 2-1 ke atas Viktoria Plzen dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), Selasa lalu, sekali gus menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan.