Antonio Conte akan kekal memegang jawatan ketua jurulatih Inter Milan, demikian disahkan kelab Serie A berkenaan.

Bekas pengendali Juventus dan Itali itu mencetuskan tanda tanya mengenai masa depannya sebaik pasukannya tewas kepada Sevilla dalam final Liga Europa, Jumaat lalu dengan berkata Inter perlu meneruskan perancangan "dengan atau tanpa saya".

Conte turut berkata "sesuatu telah terjadi" sambil mengaitkan komitmen terhadap keluarga memaksanya menentukan sama ada bola sepak perlu diberikan keutamaan atau tidak.

Inter menamatkan Serie A ditangga kedua, mara ke separuh akhir Coppa Italia dan menikmati laluan mereka dalam kejohanan Eropah, sekali gus menjadi kempen terbaik mereka hampir sedekad ini.

Conte kini berpeluang untuk membina semula kejayaan bersama kelab itu selepas melalui perbincangan yang disifatkan sebagai "pertemuan konstruktif" semalam.

Satu kenyataan dalam laman web rasmi kelab itu berkata: "Kelab ini dan Antonio Conte sudah mengadakan satu pertemuan konstruktif hari ini bagi menumpukan kepada kelangsungan dan strategi, di mana kedua-dua pihak telah menemui asas untuk terus bekerjasama dalam projek kelab ini."