INTER 3 SASSUOLO 3

Antonio Conte mengakui kegagalan Inter untuk memungut tiga mata ketika menentang Sassuolo sesuatu yang "membimbangkan" tetapi pengurus itu percaya bahawa pasukannya lebih berhak untuk menang.


Inter dua kali menerajui perlawanan dalam pertemuan panik Serie A itu yang berakhir 3-3 di San Siro untuk Nerazzurri terlepas peluang bagi menambah tekanan kepada Lazio dan Juventus.

Gol awal Francesco Caputo membolehkan Sassuolo mendahului permainan tetapi Romelu Lukaku dan Cristiano Biraghi memberikan kelegaan buat Inter sebelum menuju ke waktu bilik persalinan sebelum Roberto Gagliardini terlepas peluang keemasan untuk menjadikannya 3-1.

Sassuolo kemudian tidak melepaskan peluang apabila dihadiahkan sepakan penalti yang dimanfaatkan Domenico Berardi pada minit ke-81 sebelum Borja Valero mengembalikan kelebihan Inter, tetapi Giangiacomo Magnani menyelamatkan satu mata untuk pelawat.

Kad merah terhadap Milan Skriniar pula menutup kesimpulan yang luar biasa mengenai pertembungan itu.

"Saya rasa kami lebih berhak atas dasar usaha yang dibuat memandangkan saya tidak ingat bilakah Samir Handanovic digugat," katanya dalam nada kecewa kepada wartawan.

"Kami sering mengulangi tabiat ini dan kami terpaksa membayarnya harga yang mahal. Saya sangat kecewa, begitu juga dengan pemain-pemain.

"Apabila kami beraksi dalam perlawanan seperti ini dan berusaha keras, kami berpeluang untuk menang walaupun menghadapi kesukaran di bahagian tengah tetapi kami harus membawa pulang tiga mata. Kami gagal melakukannya -- ini sesuatu yang mengecewakan dan menyusahkan.




"Terdapat situasi yang menyaksikan kami sepatutnya memperoleh gol dan kami perlu membayar kesilapan ini. Kami mempunyai peluang untuk memuktamadkan kemenangan dan kami tidak melakukannya. Saya tidak tahu apa lagi yang perlu kami lakukan selain terus berusaha.

"Saya gembira dengan persembahan anak buah. Kami harus lebih berhati-hati dalam perinciannya. Di situlah kami boleh berkembang dan bertambah baik.

"Kami perlu berusaha untuk memenangi kesemua baki perlawanan tanpa mengira apa yang akan terjadi kerana saya mahu pasukan ini sentiasa meletakkan sasaran maksimum. Saya tidak mahu sebarang penyesalan tetapi kami terpaksa menempuhi malam ini."

Biraghi meledak gol pertamanya dalam Serie A sejak September 2018, namun pertahanan itu turut kecewa.

"Apabila mewakili Inter, anda merupakan sebahagian daripada tonggak pasukan yang hebat dan perlu terus maju. Kunjungan ke Parma adalah peluang untuk kami kembali ke landasan yang betul," katanya kepada laman sesawang Inter.

"Kami harus berfikir seperti sebuah pasukan yang hebat. Kami fokus untuk menang.

"Sejak kami kembali menyambung kempen (selepas diselubungi wabak COVID-19) , kami mempunyai lebih banyak peluang berbanding lawan. Gagal membunuh permainan merupakan satu masalah."