Antonio Conte enggan membandingkan Marcelo Brozovic dengan legenda Itali, Andrea Pirlo, tetapi percaya pemain tengah Inter itu memiliki potensi bertaraf dunia.

Brozovic, yang merupakan antara tonggak utama dalam skuad kendalian Conte bersama Inter, sudah meledak gol dalam lapan aksi Serie A.

Kualiti pemain perancang skuad kebangsaan Croatia itu sekali lagi terserlah ketika merakamkan kemenangan ke atas Sassuolo dan Borussia Dortmund.

Aksi berkualiti pemain berusia 26 tahun itu telah mula dijadikan perbualan sehingga dibandingkan dengan legenda Itali, Pirlo, namun bekas jurulatih Juventus itu enggan menyamakan kualiti di antara kedua-dua pemain itu.

"Brozovic mampu menampilkan aksi yang lebih baik. Hantarannya mampu menjadi lebih berkesan untuk pemain penyerang," katanya.

"Dia sedang berusaha meningkatkan permainan menyerang dan bertahan. Pemain tengah bertahan turut perlu cemerlang membantu benteng pertahanan pasukan. Dia mampu menjadi pemain bertaraf dunia.

"Saya enggan membandingkan kedua-dua pemain ini. Pirlo dilihat sebagai seorang genius. Dia melakar sejarah dalam bola sepak.

"Brozo memiliki kualiti yang berbeza, dia berlatih dengan baik dan saya berpuas hati dengan persembahannya. Saya mahu dia menjadi seorang pemain bertaraf dunia," kata Conte lagi.

Kemenangan berturut-turut yang dilakar membenarkan Inter bangkit daripada kekalahan kepada Barcelona dan Juve pada permulaan bulan ini.

Tewas kepada skuad kendalian Maurizio Sarri itu di San Siro kekal menjadi pemisah dalam kedudukan Serie A, dengan Inter ketinggalan satu mata kepada Juventus hasil tujuh kemenangan daripada lapan perlawanan.

"Kami perlu memberikan fokus kepada kemampuan diri sendiri. Tidak perlu merisaukan perkara lain dan cuba melihat ke hadapan.

"Ia adalah kitaran baru untuk kami dan ia sememangnya bukan mudah. Kami sangat hampir dengan pendahulu liga. Ia amat memuaskan tetapi kami perlu kekal fokus.

"Setiap perlawanan menguji cita-cita kami. Inter menampilkan aksi terbaik dan tiga mata adalah sasaran utama.

"Ketika ini, Inter di landasan tepat dan mahu meneruskannya. Kami akan lihat di mana kami akan sampai pada penghujung musim ini."