Badan induk bola sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) telah meminta FIFA untuk menangguhkan saingan kelayakan Piala Dunia 2022 sehingga September depan susulan wabak coronavirus.

Saingan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan dijadualkan bermula 26 Mac ini, namun kini ditangguhkan kerana wabak COVID-19.

Kini, tatkala seluruh dunia bergelut dengan virus itu, badan bola sepak Amerika Selatan itu bercadang untuk memulakan saingan itu September nanti.

"Dengan langkah ini, pihak konfederasi ingin memastikan segala langkah berjaga-jaga menentang wabak ini, sejajar dengan saranan badan kesihatan," kata wakil CONMEBOL.

Dalam aksi pembukaan saingan kelayakan, juara Copa America, Brazil, bakal melayan kunjungan Bolivia sambil Argentina berdepan Ecuador.

Copa America 2020 telah ditangguhkan sehingga 2021 susulan wabak coronavirus.

Tarikh baru Copa America tahun depan dijadualkan pada 11 Jun sehingga 11 Julai.

Secara keseluruhan, lebih 10,000 nyawa telah terkorban daripada 245,000 kes COVID-19 di seluruh dunia.