Chris Coleman memerlukan sedikit masa untuk menelan hakikat kegagalan mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia sebelum memutuskan masa depannya sebagai pengendali.

Harapan Wales untuk mara ke kejohanan itu buat julung kalinya sejak 1958 dipadamkan dengan kekalahan tipis 1-0 kepada Republik Ireland di Stadium Cardiff City, awal pagi tadi.

Anak buah Coleman terpaksa berpuas hati mengakhiri kempen itu di tangga ketiga Kumpulan D, dengan Ireland mara ke peringkat play-off di belakang Serbia.

Di sebalik membimbing pasukan itu ke suku akhir Euro 2016, namun mereka gagal memastikan tempat di Russia sehingga memaksa jurulatih berusia 47 tahun itu mempertimbangkan langkah yang seterusnya.

"Apa yang berlegar dalam fikiran saya ketika ini adalah wajah sugul di dalam bilik persalinan dan kekecewaan pemain. Perasaan kami sukar ditenangkan ketika ini," kata Coleman, yang pernah dikaitkan dengan kelab Liga Perdana Inggeris sebelum ini, kepada Sky Sports.

"Saya tahu kenapa mereka bersikap demikian, namun mereka perlu berasa cukup bangga dengan apa yang telah mereka lakukan.

"Saya mahu berbincang mengenai situasi saya tetapi saya memerlukan sedikit masa selain menanti suasana kembali jernih. Kemudian barulah kami akan duduk berbincang.

"Kami menguasai babak pertama dalam aksi hari ini. Bagaimanapun, kami sedar Ireland juga mempunyai perancangan dan mereka melakukannya dengan begitu baik sekali.

"Mereka menghukum kami dengan serangan balas, mereka harus dipuji.

"Sebaik kehilangan Joe Allen (akibat kecederaan kepala pada awal permainan) dan sudahpun kehilangan Gareth Bale, kami kehilangan sentuhan kreatif. Mereka berkubu di tempat sendiri dan sukar untuk kami tembusi.

"Syabas buat Ireland. Martin O'Neill telah melaksanakan tugas dengan baik dan semoga berjaya dalam play-off.

"Ini kekalahan pertama kami di sini dalam tempoh empat tahun. Pemain telah mencurahkan segala-galanya, namun itu belum memadai.

"Saya boleh meminta lebih banyak lagi. Ia perlawanan terakhir kami dan kekalahan pertama kami dalam kempen ini. Kutipan mata kami tidak bagus, kami memerlukan tiga mata.

"Dengan pemain yang ada berdasarkan umur dan pengalaman, mereka akan meningkat lagi. Kegagalan ini akan melukakan kami sedikit. Kami belajar sesuatu malam ini," hujahnya.