WALES 1 PANAMA 1

Chris Coleman membayangkan dia akan meneruskan tanggungjawab bersama Wales apabila mendakwa "keinginannya tidak pernah pudar" untuk mengurus pasukan kebangsaan negaranya selepas seri 1-1 dalam aksi persahabatan dengan Panama, awal pagi tadi.


Masa depan Coleman kekal dalam keraguan dalam perlawanan ke-50 yang ditanganinya bersama Wales, dengan bekas bos Fulham dan Real Sociedad itu masih belum memeterai kontrak lanjutan selepas gagal dalam kelayakan Piala Dunia 2018.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 47 tahun itu kini tampak akan meneruskan tugasnya apabila mendedahkan masa depannya akan diselesaikan dengan kadar segera.

"Saya fikir saya orang yang tepat untuk memimpin mereka, ya, malah lebih daripada itu," kata Coleman kepada BBC Sport.

"Ia akan berlaku dengan pantas, sangat pantas, saya tidak pernah kehilangan keinginan untuk mewakili Wales."

Tanpa beberapa pemain berprofil tinggi, termasuk Gareth Bale dan Aaron Ramsey untuk berdepan Panama, Coleman mengetengahkan pemain muda.

Mereka membalas kepercayaannya apabila David Brooks, Ben Woodburn dan Tom Lawrence mempamerkan aksi memberangsangkan selepas mereka memecah kebuntuan permainan dalam baki 15 minit perlawanan meskipun Sam Vokes terlebih dahulu terlepas peluang penalti.

Begitupun, usaha tuan rumah masih tidak memadai apabila gol Armando Cooper pada minit ke-93 merencatkan kejayaan mereka, namun Coleman segera memuji generasi Wales yang berikutnya.

"Kami memberi banyak pengalaman kepada pemain muda, itu penting.

"Kami harus memberikan kredit kepada Panama, kami sukar menembusi mereka. Terima kasih banyak kepada peminat kami yang datang pada malam ini, mereka setia bersama kami," ujarnya.