Ronald Koeman percaya Manchester City mampu mendapatkan keputusan yang positif di Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara jika tidak melepaskan peluang yang mereka miliki.

Koeman, yang mengendalikan Everton, berjaya mengikat Man City 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.

Keputusan itu melanjutkan kemarau City tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut menjelang aksi di Nou Camp bertemu Barcelona.

Koeman berasakan skuad kendalian Guardiola mampu merakamkan kemenangan ke atas juara La Liga itu, namun harus berwaspada di sepanjang perlawanan.

"Saya berpendapat City adalah pasukan yang kuat dan mampu mendapatkan keputusan di Barcelona tetapi anda berdepan Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez, mereka akan cuba untuk menembusi barisan pertahanan The Citizens," jelas Koeman.

"Jika mereka memperoleh empat peluang, mereka mampu menjaringkan tiga gol. Kualiti yang dimiliki Barcelona sangat tinggi."

Koeman, yang telah memenangi banyak gelaran bersama Barcelona sebagai pemain, tidak sabar untuk menyaksikan pertembungan di antara dua pasukan gergasi ini.

Bekas pemain kebangsaan Belanda itu berkata kedua-dua pasukan memiliki gaya permainan yang sama dan perlawanan ini bakal menguji tahap keberkesanan taktikal mereka.

"Saya tidak sabar untuk menantikan perlawanan ini, mereka memiliki kualiti yang sama. Saya pasti kedua-dua pasukan bakal mempamerkan aksi yang amat menakjubkan."