BAYERN MUNICH 3 DUREN 0

Thomas Muller menghamburkan pujian terhadap Eric Maxim Choupo-Moting sambil berseloroh bahawa muka baru itu telah menetapkan petanda aras yang tinggi, tetapi wira dua gol buat Bayern Munich itu tiada masalah untuk memainkan peranan sebagai pengganti kepada Robert Lewandowski.


Choupo-Moting diturunkan dalam kemenangan 3-0 ke atas Duren untuk melepasi rintangan pusingan pertama DFB-Pokal, awal pagi tadi, selain memenangi sepakan penalti untuk disudahkan Muller.

Penyerang itu, yang mewakili Paris Saint-Germain (PSG) ketika bertemu Bayern dalam final Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu, menyertai gergasi Bundesliga itu pada tarikh akhir perpindahan.

Muller kagum dengan rakan sepasukannya itu baik di atas mahupun luar padang lalu berkata SPORT1: "Choupo-Moting seorang yang bijak bahkan seorang yang lucu di luar padang.

"Dia secocok dengan gaya permainan kami kerana dia memiliki kemahiran yang bagus. Jika dia mempertahankan tahap serangan seperti ini, dia akan serasi bersama kami."


Pemain keturuanan Jerman-Cameroon itu turut berfungsi sebagai pemain gantian kepada Kylian Mbappe, Neymar, Mauro Icardi dan Edinson Cavani di PSG.

Tetapi, Bayern tidak mempunyai banyak pilihan di sebalik penggempur berusia 31 tahun itu masih merupakan pilihan kedua selepas penjaring terbanyak Eropah musim lalu, Lewandowski.

Choupo-Moting tetap selesa dengan dengan peranan itu dengan menjelaskan: "Saya sangat menghormati Lewy, dia antara penyerang terbaik musim lalu.

"Sekiranya saya jarang dapat beraksi, tidak mengapa dan jika kami berpeluang bergandingan maka itu lebih baik. Saya akan cuba mendapatkan tempat sebanyak mungkin."

Mengenai penampilan sulungnya, tambahnya: "Kami beraksi dengan baik dan saya gembira kerana kami memenangi perlawanan dan berjaya menghasilkan gol pertama saya bersama Bayern.

"Saya berikan 100 peratus untuk Bayern Munich. Saya berharap permainan kami akan bertambah mantap dari semasa ke semasa -- itulah yang saya usahakan dalam latihan."