Federico Chiesa menafikan laporan mengenai perpindahan mega untuk dia keluar daripada Fiorentina sambil menegaskan sasaran utamanya adalah untuk membuktikan kemampuan bersama The Viola.

Pemain kebangsaan Itali itu kerap dikaitkan dengan perpindahan dalam beberapa bulan terakhir tatkala Juventus, Inter Milan dan Napoli merupakan antara pasukan yang berminat untuk mendapatkannya dengan nilai EUR60 juta (RM287 juta).

Chiesa percaya nilai itu sesuatu yang melampau tetapi ia membuatkannya bersemangat untuk terus beraksi cemerlang bersama Fiorentina sambil melupakan sebarang perbincangan berkaitan perpindahan untuk dia fokus bersama kelab itu.

"Saya hanya berfikir untuk membuktikan nilai saya sepanjang masa walaupun jumlah yang disebutkan sesuatu yang melampau," kata Chiesa.

"Keutamaan saya sekarang adalah beraksi cemerlang setiap minggu, membuktikan siapa Federico Chiesa. Fokus saya kini terhadap aksi berdepan Cagliari.

"Saya gembira di Fiorentina dan hanya memikirkan perlawanan seterusnya."

Dalam masa sama, Chiesa juga bersemangat untuk mempamerkan nilainya bersama skuad Itali apabila menambah: "Ini adalah skuad Itali yang muda dan perjalanan masih jauh. Keutamaan saya adalah bersedia bersama pasukan kebangsaan.

"Saya tidak berasa menjadi pemain utama tetapi hanya mahu membuktikan bahawa saya layak untuk mewakili Azzurri. Saya akan bekerja keras untuk memastikan menerima panggilan seterusnya.

"Ketua jurulatih, Roberto Mancini, kini memulakan projek baru. Dia sentiasa memberitahu kami agar beraksi tenang dan bebas tanpa tekanan."