Cheng Hoe taruh 'trio S', Nishino terap falsafah Jepun

Oleh Penulis Jemputan 14 November 2019 7331
Cheng Hoe taruh 'trio S', Nishino terap falsafah Jepun
Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, sedia mempertaruhkan "trio S" dalam perlawanan menentang Thailand dalam saingan Kumpulan G, pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Jurulatih itu dijangka melakukan beberapa perubahan pemain dalam aksi getir itu berbanding ketika perlawanan persahabatan menentang Tajikistan di venue sama Sabtu lalu.

Skuad Harimau Malaya akan kembali mendapat sentuhan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, yang sebelum ini tidak dapat diturunkan gara-gara penggantungan perlawanan.

Pemain kelahiran Gambia itu akan membentuk gandingan dengan Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid untuk melaksanakan misi merobek gawang skuad Gajah Perang itu.

"Ramai yang ingin melihat gandingan tiga S ini, saya perlu mendapatkan gandingan terbaik untuk menentang Thailand.

"Kita tahu Thailand bukan sahaja bagus di bahagian serangan, mereka juga mempunyai pemain yang berkualiti di bahagian pertahanan," katanya.

Sementara itu, Thailand kelihatan ghairah untuk menghadapi Malaysia selepas merekodkan dua kemenangan dan satu keputusan seri daripada tiga perlawanan.

Ia meletakkan mereka selaku pasukan pilihan untuk meraih kemenangan, namun jurulatihnya, Akira Nishino, mahu pemainnya memberikan komitmen penuh walaupun masih menyesuaikan diri dengan falsafah yang diterapkannya.

"Bukan semua cara Jepun dapat saya terapkan dalam pasukan ini.

"Untuk menerapkan falsafah saya ke dalam pasukan ini, ia bukan perkara mudah dan memerlukan masa.

"Tetapi kami mahu terus meningkatkan kualiti hari demi hari," katanya.

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen